Wednesday, November 13, 2019

GUNUNG PRAU DAN TARIKAN ENAM PUNCAK GUNUNG DI DIENG


Percutian biasanya penuh dengan acara lawatan dan aktiviti membeli belah. Tempat menarik dengan keindahan alam sekitar , tempat-tempat bersejarah dan pusat membeli belah sering menjadi tumpuan. Agak kurang kita mengerah tenaga dan kekuatan fizikal ketika bercuti.

Ini berbeza dengan konsep bercuti bagi saya yang memilih untuk bercuti sambil berekpslorasi dengan alam sekitar terutamanya kawasan tanah tinggi , bukit dan gunung. Kali ini penulis dan rakan-rakan kelab memilih negara Indonesia untuk meneruskan konsep bercuti sambil meneroka alam sekitar khasnya aktiviti mendaki gunung.
Wonosobo khususnya Dataran Tinggi Dieng di Jawa Tengah sangat terkenal dengan objek alamnya yang indah. Tidak hairanlah daerah ini menjadi tumpuan kepada pencinta alam untuk menikmati permandangan yang menakjubkan. Salah satu puncak yang mesti ditawan ialah Gunung Prau yang tingginya 2565 meter dari paras laut.
Penerbangan awal pagi dari Kuala Lumpur ke Jogjajakarta selama 2 jam 45 minit tidak terasa kerana asyik memikirkan cabaran yang bakal ditempuhi. Perasaan berdebar dan teruja menguasai diri penulis dan rakan-rakan kerana impian untuk menawan satu lagi puncak di negara Lingkaran Api Pasifik itu semakin menjadi kenyataan.Kami menggunakan laluan Jogjakarta-Wonosobo-Magelang – Dieng untuk sampai ke tempat penginapan di Patak Banteng,Dieng.
 Perjalanan dari Jogjajakarta ke Dieng sejauh 120 kilometer mengambil masa lebih kurang 4 jam menggunakan van yang disediakan oleh ejen kami , Lich Machmud. Di sepanjang perjalanan kami terpesona menikmati permandangan  cantik sawah padi berteres yang sudah tentu tidak ada di Malaysia. 


Hari pertama kami di Dieng , kami berkesempatan bersiar-siar dan melawat beberapa tempat yang menjadi tumpuan pelancong. Penulis sempat ke Tasik Hijau atau dikenali juga sebagai Tasik Warna. Keunikan warna airnya yang kehijauan amat luar biasa. Tidak jauh dari Tasik Warna terdapat dua lagi lokasi tumpuan pelancong iaitu Candi Arjuna dan Kawah Sikidang.
Air Tasik Warna kelihatan kehijauan dari jauh.

Kesan-kesan muntahan Gunung Merapi dijadikan objek wisata

Berkesempatan merasai debaran menaiki Gondola yang dioperasikan secara manual 
di Pantai Timang

Candi Arjuna juga menjadi objek tarikan pelancong di Dieng

Dataran Tinggi Dieng di Jawa Tengah terletak di tiga kabupaten yang bersempadan iaitu Wonosobo , Kendal dan Batang. Ianya mirip Tanah Tinggi Cameron di Malaysia tetapi dibezakan dengan rupa alam yang lebih cantik kerana kesan aktiviti gunung berapi sejak sekian lama. Banyak objek yang menjadi tarikan pelancung seperti Telaga Menjer, Tasik Warna,Posong,Gua Semar dan Bukit Sekunir. 

Bergambar dengan Ibu Lich yang banyak membantu eksplorasi saya
di Dieng,Jogjakarta



Gunung Prau merupakan salah satu puncak yang diidamkan untuk ditawan bagi penggemar aktiviti pendakian. Ianya boleh didaki dengan menggunakan lapan jalur atau laluan. Enam jalur sudah lama digunakan tetapi dua laluan lagi masih dalam peringkat ujian. Jalur yang sering menjadi pilihan pendaki ialah Jalur Wates, Jalur Kalilembu,Jalur Dieng Kulon dan Jalur Patak Banteng. Setelah berbincang dengan juru pandu , kami memilih Jalur Patak Banteng untuk misi menawan Gunung Prau.

Peta laluan pendakian Gunung Prau 2565 mdpl

Penulis dan rakan-rakan memilih waktu petang untuk memulakan pendakian. Tepat jam 4.00 petang waktu Indonesia kami memulakan pendakian. Semua pendaki perlu membuat pendaftaran di kaunter sebelum dibenarkan mendaki. Laluan awal menuju ke stesen atau Pos 1 Sekot Dewo melalui anak tangga dan laluan berbatu di kawasan kebun sayur.

Bergambar sebelum memulakan pendakian

Setiap pos mempunyai pondok untuk pendaki berhenti rehat. Kami sampai ke Pos 2 yang dikenali Canggal Walangan dalam masa 45 minit . Juru pandu kami memuji stamina yang dimiliki oleh rakan-rakan pendaki.  

Menikmati kelazatan buah-buahan dan kopi panas di Pos 2 Cangal Walangan

Pos 3 di kenali sebagai Cacingan yang semakin hampir dengan puncak dan kawasan perkhemahan. Kami tidak berhenti di Pos 3 kerana mencari lokasi yang terbaik untuk melihat matahari terbenam. Kami tidak melepaskan peluang merakamkan panorama indah ketika matahari terbenam di Pos 4 iaitu Pos Plawangan.

Pemandangan matahari terbenam dari Pos 4 Pos Plawangan

Ketika sampai di Pos 4 , ketika hari sudah gelap dan kami perlu menggunakan lampu kepala untuk membantu melancarkan pergerakan. Sepanjang pendakian , suasana tidak sunyi walaupun hari semakin gelap kerana ramai pendaki lain yang bergerak turun. Cabaran utama yang dihadapi oleh kami ialah laluan yang agak berdebu kerana musim kemarau ketika itu.

Berbekalkan persiapan yang rapi , kami mampu menempuh cabaran ke puncak Gunung Prau dengan masa dua jam sahaja. Di tapak perkhemahan sudah kelihatan deretan lampu khemah kerana ramai pendaki lain yang tiba lebih awal.

Suasana tapak perkhemahan di Puncak Gunung Prau,Dieng.

Kelihatan dari jauh 6 puncak gunung lagi iaitu  Gunung Sindoro,Gunung Sumbing,Gunung Merapi,Gunung Merbabu dan Gunung Lawu. Malah turut kelihatan Gunung Slamet di arah barat.

Kami bermalam di dalam khemah yang sudah didirikan oleh porter yang diuruskan oleh ejen kami. Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan pada waktu malam. Kami hanya berbual-bual sambil menikmati juadah makan malam yang disediakan.

Waktu menjelang matahari terbit adalah waktu yang ditunggu-tunggu oleh pendaki. Saat ini adalah waktu untuk merakamkan detik-detik kegembiraan setelah berada di puncak. Pelbagai aksi dan gaya dipamerkan dengan memilih sudut yang terbaik. Walaupun suhu mencecah 10℃ hingga 12℃ , namun keterujaan menikmati keindahan alam seperti tidak terasa akan kesejukan.

Kami membuat satu kejutan kepada pendaki-pendaki lain. Kejutan ini sudah dirancang lebih awal . Kami menukar pakaian tebal kepada baju kebangsaan. Dengan bangganya penulis dan rakan-rakan berpakaian baju kebangsaan yang lengkap sambil mengibarkan jalur gemilang dan menyanyikan lagu `Negaraku’.

Bangga dapat memakai baju kebangsaan ketika berada di ketinggian
2565 mdpl


Kelainan yang kami pamerkan mendapat perhatian dari pendaki-pendaki lain yang majoritinya pendaki tempatan. Kami lebih sibuk melayan kemahuan pendaki lain untuk bergambar.

Berada di puncak Gunung Prau seperti berada di bumi lain yang dikelilingi awan putih. Dari puncak Prau kita boleh melihat beberapa puncak lain seperti Gunung Sindoro,Gunung Sumbing,Gunung Merapi,Gunung Merbabu dan Gunung Lawu. Malah turut kelihatan Gunung Slamet di arah barat.

Setelah puas merakamkan gambar dan berkenal-kenalan dengan pendaki-pendaki lain , kami mula bergerak turun selepas menikmati sarapan pagi . Suasana masih dingin dengan cuaca yang cukup baik. Pergerakan turun tidak mengambil masa yang lama berbanding ketika mendaki. Kami bergerak turun secara santai sambil terus merakamkan gambar-gambar kenangan.



Kami mempunyai masa sehari lagi sebelum berangkat pulang ke tanah air. Kami ke kaki gunung Merapi untuk melihat kesan-kesan muntahan Merapi pada tahun 2010. Hari terakhir kami ke Pantai Timang untuk merasai debaran menaiki gondola yang beroperasi menggunakan tenaga manusia secara manual oleh pengusahanya.

Sesuai dengan tema `Truly And Amazing Sight’ pengalaman menawan Gunung Prau di Dieng,Jawa Tengah sangat berbaloi. Kami berbangga dapat memakai baju kebangsaan di puncak Prau untuk menerbitkan perasaan patriotisme dan kecintaan kepada negara. Pendaki Indonesia menamakan pakaian kebangsaan yang kami pakai sebagai pakaian adat.

Kejayaan menawan Gunung Prau terus memotivasikan kami untuk terus meneroka puncak gunung lain samada di dalam atau luar negara.

PIYAMIT TUNNEL BETONG

Walaupun saya tinggal di Kedah , negeri yang bersempadan dengan Thailand , tetapi saya tidak berkesempatan untuk mengunjungi negara gajah putih itu seperti orang lain. Mungkin kesibukan dengan tugas dan kekangan waktu yang tidak selalu memihak kepada saya untuk memasuki Thailand secara lebih kerap.
Namun begitu , jika ada peluang sudah pasti tidak akan dilepaskan. Saya mengunjungi Betong dan meninjau kesan-kesan sejarah daerah yang terkenal dengan sejarah komunis pada masa dahulu.
Gerakan komunis di utara tanah air bermula sekitar tahun 1948 sebaik tamat Perang Dunia Ke-2. Komunis bercita-cita untuk menegakkan sebuah negara komunis dengan menubuhkan unit-unit khas dan memantapkan organisasi mereka. Namun begitu , gerakan menghapus dan membasmi komunis oleh pasukan keselamatan Malaysia secara berterusan memaksa mereka berlindung sehingga memasuki wilayah selatan Thailand.
Penulis berdiri di hadapan pintu masuk Piyanit Tunnel,Betong

Untuk berlindung dari dikesan dan diserang oleh pasukan keselamatan Thailand dan Malaysia,gerila-gerila Parti Komunis Malaya ini telah membina beberapa terowong di selatan Thai sebagai pengkalan latihan dan tempat persembunyian mereka.
Piyamit Tunnel adalah salah satu sistem terowong yang terletak di Tano Maero,Betong di Wilayah Yala. Ia merupakan jaringan terowong sepanjang 1 kilometer yang telah dibina pada tahun 1976 oleh 50 anggota komunis. Terowong ini mengambil masa selama 3 bulan untuk disiapkan secara manual tanpa menggunakan sebarang jentera. Lebarnya dianggarkan 5 kaki, dan mampu memuatkan tempat tidur,setor dan lain-lain ruang untuk memberikan perlindungan kepada gerila-gerila komunis di situ.

Inilah rupa terowong yang dibina oleh gerila-gerila komunis untuk tujuan
perlindungan.

Ini adalah perigi yang dibina untuk mendapatkan sumber air.


Penulis bergambar bersama keluarga di laluan 3 untuk keluar terowong 


Sunday, November 10, 2019

AWAN NANO DI BETONG , THAILAND

Kesempatan menyertai program sekolah saya gunakan sepenuhnya. Kali ini saya menyertai guru dan staf Sekolah Model Khas Bukit Jenun,Pendang ke Betong,Thailand. Untuk memasuki Betong, kami menggunakan pintu masuk Pengkalan Hulu dan terus ke pintu sempadan Tailand.
Urusan dokumen tidak mengambil masa yang lama kerana jumlah pengunjung tidaklah ramai.Selesai urusan dokumen di imigresen , kami tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto-foto disekitar kompleks imigresen Thailand.


Perjalanan kami ke arah bandar Betong dan singgah sebentar di sebuah kedai untuk urusan pertukaran wang ringgit ke baht Thailand. Kadar tukaran agak rendah berbanding ringgit Malaysia. Saya menukar RM1000 dan mendapat Baht7250.00 sahaja. Jika kita menitik beratkan kadar tukaran wang , maka waktu sekarang bulanlah waktu yang sesuai untuk berkunjung ke Thailand kecuali atas urusan rasmi.
Destinasi pertama kami ialah Winter Flower Garden yang terletak di Tano Maero, Betong lebih kurang 18 kilometer dari pusat bandar. Laluan ke Winter Flower Garden agak mencabar juga kerana terletak di atas bukit dengan jalan yang berliku. Musim hujan menyebabkan jalan agak licin dan terdapat kesan runtuhan tanah di sepanjang perjalanan.
Setiap pengunjung dewasa dikenakan bayaran 60 baht. Winter Flower Garden adalah sebuah taman bunga yang direkabentuk khas untuk tujuan pelancongan.Suhu yang agak dingin membolehkan pokok-pokok bunga tumbuh subur dengan jagaan dan seliaan rapi pekerjanya. Terdapat kedai-kedai sovenior,kedai makan dan bilik-bilik sewa untuk pengunjung yang ingin menginap.



Hari kedua , saya memang agak teruja untuk menerjah awan nano ini. Sebelum ini , saya memang sudah biasa dengan situasi awan nano atau awan karpet ini semasa berpeluang mendaki beberapa buah gunung di dalam dan di luar negara.
Kami diberitahu oleh pemandu pelancong supaya bersedia di lobi hotel se awal jam 2.30 pagi waktu Thailand ( 3.30 pagi waktu Malaysia). Memang agak terkejut pada mulanya kerana saya difahamkan jarak dari hotel ke puncak Iyerweng lebih kurang 32km . Tapi kami akur dengan jadual yang diatur untuk  melancarkan perjalanan.
Kami singgah untuk solat subuh di masjid dan meneruskan perjalanan menggunakan pickup yang disediakan. Perjalanan di awal pagi amat menyamankan dan selesa. Pickup yang membawa kami menerjah jalan pendakian untuk menuju ke puncak yang tingginya 2085 meter dari paras laut.
Pickup yang membawa kami tiba di kawasan meletak kenderaan yang sudah dipenuhi dengan kenderaan lain.
Untuk ke puncak Iyerweng , kami perlu berjalan dan mendaki lebih kurang 400 meter di laluan yang disediakan. Bagi yang tidak biasa dengan aktiviti pendakian , ianya amat memenatkan. Tapi pengunjung boleh memilih untuk menggunakan motosikal yang disediakan untuk sampai ke atas dengan bayaran 20,000 baht pergi dan baliknya 10,000 baht.
Di puncak Iyerweng telah ramai pengunjung sampai dan berada di pelantar yang dibina khas untuk menyaksikan awan nano yang terhampar memutih. Memang menakjubkan pemandangannya. Lautan awan putih terhampar luas seakan kita berada di bumi bersalji. Bagi penggemar aktiviti mendaki suasana yang terhidang agak biasa dan sering dilihat ketika berada dipuncak gunung.
Pelantar untuk menyaksikan pemandangan awan agak sempit dan tidak mampu menempatkan ramai pengunjung. Saya dan keluarga perlu pandai mengambil peluang untuk merakamkan foto-foto menarik dari pelbagai sudut








.

  

Tuesday, September 12, 2017

Tuesday, August 1, 2017

MENJENGAH GUNUNG PULUT , GRIK.


Kebetulan ada masa dan ruang, saya memenuhi minat dan kecintaan saya pada alam sekitar. Saya bersama rakan-rakan pendaki memilih tarikh 28 dan 29 Julai 2017.

Saturday, August 1, 2015

MINAT BERKARYA KEMBALI MENEBAL

Tiba-tiba minat untuk berkarya datang kembali.Mungkin selepas berdiskusi dengan teman-teman yang tetap prolifik berkarya. Terima kasih Fuzi Hadi,Sara Salwana dan Halim R. Mungkin anda berjaya memotivasikan kembali diri ini. Sekalung tahniah juga kepada tuan-tuan yang masih mengingati diri saya. 
Aktiviti berkarya seperti terhenti hampir mencecah 10 tahun. Begitu lama sekali. Mungkin kesibukan dan tumpuan yang lebih kepada kerjaya yang menghalang minat dan bakat itu. Insyaallah, selepas ini anda boleh menatap dan membaca kembali karya-karya saya di dada-dada akhbar dan majalah.
Semoga kekuatan itu akan tetap menebal.

Saturday, September 14, 2013

PENDAKIAN DAN PENGHAYATAN ALAM


6 September 2013 , 9.30 pagi bersama rakan-rakan meneroka keindahan alam sekitar di Gunung Berembun (1840m) di Brinchang,Cameron Highland.

Monday, August 6, 2012

CHONG WEI SUDAH LAKUKAN YANG TERBAIK

“Saya minta maaf”. Itulah kata-kata ringkas daripada Datuk Lee Chong Wei selepas gagal memperoleh emas dalam acara badminton perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik di London, malam tadi.
Lee Chong Wei berkata demikian selepas sekali lagi gagal di tangan Lin Dan, musuh tradisinya, yang memperoleh emas pada 2008 di Beijing. Susulan mesej itu, yang ditulis menerusi twitternya kira-kira jam 9.55 malam tadi (waktu Malaysia), Chong Wei ‏pilihan pertama Sukan Olimpik 2012, menghantar mesej susulan 15 minit kemudian dengan antara lain berkata:
“Terima kasih kepada semua. Saya minta maaf. Saya tidak dapat kutip emas (kali ini).”

Monday, July 23, 2012

RAMADAN DATANG LAGI

Masa begitu cepat berlalau, setahun sudah berlalu dan esok Ramadhan yang kita tinggalkan pada setahun yang lepas datang lagi. Ramadhan muncul dalam keadaan kita sebagai insan yang sangat kerdil dan memerlukan keampunan daripada Allah SWT.
Kerana itu kehadiran bulan penuh keberkatan ini diharapkan memberi sinar dalam kehidupan beribadah seorang insan yang sentiasa mengharapkan keampuan dari segala kealpaan yang lampau.
Oleh itu marilah kita pergunakan semaksima mungkin bulan Ramadhan ini dengan kita menyempurnakan pelbagai kelebihan ibadah yang terkandung di dalamnya seperti  :
1. Menyempunakan ibadah Puasa yang difardhukan
2. Mempebanyakkan solat Terawih
3. Mencari Malam Al Qadr
4. Meningkatkan Ibadah Sedekah
5. Berdoa
6. Membayar Zakat Fitrah
7. Tilawah dan Tadabbur Al Quran
8. Teruskan amalan mulia dibulan lain dengan gandaan pahala dibulan ini.
Selamat beribadah di bulan Ramadhan , Semuga Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya, InsyaAllah...

Wednesday, November 2, 2011

MALAS UNTUK MENJENGAH BLOG SENDIRI

Agak lama aku tidak mengemaskini blog ini.Selepas musim hari raya , aku seperti malas hendak mengunjungi blog aku sendiri.Yang pastinya aku tidak layak untuk dinobatkan sebagai seorang bloger.Sedangkan pengaruh blog dan bloger semakin hari semakin mampu mendominasikan suasana pemikiran rakyat.
Malah ketika Pilihanraya Ke-12 tahun 2008 yang lepas,satu kajian mendapati pengaruh informasi,berita dan maklumat yang disebarkan melalui blog dikatakan telah mempengaruhi keputusan rakyat untuk memilih kerajaan.
Sudah jelas blog menjadi media alternatif yang berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat.Aku pastinya mengambil sedikit pengajaran untuk memantapkan diri untuk menyelitkan diri dicelah-celah bloger yang sudah terkenal.

Friday, August 26, 2011

SALAM AIDIL FITRI


SAYA SEKELUARGA MENGAMBIL KESEMPATAN
KEHADIRAN HARI MULIA HARI RAYA AIDIL FITRI 1432H
UNTUK MEMOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN
KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN
BAIK DI MANA SAJA.


Sunday, August 21, 2011

KEMAMPUAN

Berita penguasaan Tan Sri Tony Fernandes terhadap kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris Queen Park Rangers (QPR) tersebar dengan cepat. Jutaan syarikat penerbangan tambang murah Airasia itu pantas menyambar peluang untuk memiliki kelab EPL tersebut selepas sebelum ini ada juga orang kaya Malaysia mahu berbuat demikian.
Dengan menguasai 66 peratus saham QPR , Tony menjadi `bos' baru QPR dan mampu melakukan sesuatu untuk memastikan QPR mampu bersaing setelah membuat kemunculan semula di EPL pada musim 2011/2012 ini.
Kuasa wang amat kuat di sini. Wang sudah membuktikan kemahuan manusia boleh dijadikan realiti.Apa yang diharapkan , Tony boleh melakukan sesuatu untuk kemajuan bola sepak Malaysia juga.Apabila beliau mempunyai kuasa terhadap QPR , maka banyak perkara boleh dilakukan.
Kemenangan 1-0 QPR ke atas Everton malam tadi juga bakal menjadi tonik mujarab untuk QPR bangun memberi cabaran apabila berhadapan dengan kelab-kelab gergasi EPL yang lain.

Monday, August 8, 2011

Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2011


Kesempatan bertugas di Jambori Pengakap Malaysia-Thailand 2011 amat meninggalkan kesan dari aspek pengorbanan dan kerjasama.Rakan-rakan begitu tinggi komitmennya. Tahniah.

Lihat gambar-gambar seterusnya DISINI

BULAN JULAI YANG PADAT

Bulan Julai sangat padat dengan pelbagai aktiviti.Aku terpaksa menguruskan pelbagai acara dan aktiviti sehingga masa amat terhad dirasakan.Pengurusan dan tugas-tugas di sekolah tetap menjadi keutamaan.Namun begitu , beberapa tugas lain yang diberi terpaksa diuruskan dengan sebaik mungkin.
Bermula dengan acara Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan pada 2 Julai 2011. Saya terpaksa menyusun acara tersebut dengan sebaik mungkin bagi memastikan dasar kementerian tersebut dapat dihayati dengan betul.Kehadiran pemain bola sepak Liga Super Negeri Kedah,Mohd Al Hafiz sebagai tetamu jemputan sedikit sebanyak memeriahkan suasana.
Selepas tamat acara Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan , acara diteruskan dengan Kejohanan Olahraga Sekolah bagi Kali Ke-26. Acara olahraga tamat jam 11.45 pagi dengan acara penyampaian pingat-pingat diadakan di dewan terbuka sekolah.
Pada tarikh 1 hingga 6 Julai 2011 , seramai 5 orang ahli Kadet Pertahanan Awam (KAPA) Sekolah berlepas ke Kuantan untuk menyertai Perkhemahan KAPA Peringkat Kebangsaan.
Dalam masa yang sama aku ditugaskan untuk menganggotai jawatan kuasa Jambori Pengakap Sempadan Malaysia-Thailand yang akan diadakan pada 9 hingga 16 Julai 2011 di Trang,Thailand.
Tarikh 9 Julai 2011 aku berlepas ke Huaiyod,Trang,Thailand untuk bertugas di sana. Lebih seminggu di luar negara memberi banyak pengetahuan dan pengalaman.Jambori Pengakap Sempadan Malaysia-Thailand begitu meriah sekali dengan aktiviti yang padat.
17 Julai 2011 kembali ke tanah air . Keesokan harinya , 18 Julai 2011 kembali bertugas. Namun kesibukan terus menghambat aku dengan urusan persediaan pelajar aku untuk menyertai Kem Pentarafan Pengakap Raja Tahun 2011 pada 21 hingga 23 Julai 2011 di Kem Unit Beruniform Negeri Kedah,Jeneri,Sik.
21 hingga 23 Julai 2011 bertugas sebagai Pentaraf Pengakap Raja . Seramai 90 orang ahli pengakap remaja hadir untuk diuji kebolehan,kemahiran dan kekuatan mental mereka sebelum ditabalkan sebagai Pengakap Raja 2011.
27 Julai 2011 aku bertolak ke Terengganu untuk satu program Lawatan Penanda Aras Unit Sukan Pejabat Pelajaran Pendang ke Majlis Sukan Negeri Terengganu. 3 hari 2 malam di Terengganu yang padat dengan aktiviti termasuk perlawanan bola sepak persahabatan dengan beberapa pasukan veteran di Terengganu.Perlawanan yang paling menarik ialah bertemu dengan Veteran Pilihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,Kuala Terengganu pada jam 8.30 malam.
Kembali dari Terengganu persiapan dibuat untuk menyambut Ramadhan . Kehadiran bulan Ramadhan begitu dinantikan untuk memberi peluang kepada kita mengejar jutaan peluang kerahmatan.
Selamat berpuasa.