Percutian biasanya penuh dengan acara
lawatan dan aktiviti membeli belah. Tempat menarik dengan keindahan alam
sekitar , tempat-tempat bersejarah dan pusat membeli belah sering menjadi
tumpuan. Agak kurang kita mengerah tenaga dan kekuatan fizikal ketika bercuti.
Ini berbeza dengan konsep bercuti bagi saya yang memilih untuk bercuti sambil berekpslorasi dengan alam sekitar
terutamanya kawasan tanah tinggi , bukit dan gunung. Kali ini penulis dan
rakan-rakan kelab memilih negara Indonesia untuk meneruskan konsep bercuti
sambil meneroka alam sekitar khasnya aktiviti mendaki gunung.
Wonosobo khususnya Dataran Tinggi Dieng di
Jawa Tengah sangat terkenal dengan objek alamnya yang indah. Tidak hairanlah
daerah ini menjadi tumpuan kepada pencinta alam untuk menikmati permandangan yang menakjubkan. Salah satu
puncak yang mesti ditawan ialah Gunung Prau yang tingginya 2565 meter dari
paras laut.
Penerbangan awal pagi dari Kuala Lumpur ke
Jogjajakarta selama 2 jam 45 minit tidak terasa kerana asyik memikirkan cabaran
yang bakal ditempuhi. Perasaan berdebar dan teruja menguasai diri penulis dan
rakan-rakan kerana impian untuk menawan satu lagi puncak di negara Lingkaran
Api Pasifik itu semakin menjadi kenyataan.Kami menggunakan laluan
Jogjakarta-Wonosobo-Magelang – Dieng untuk sampai ke tempat penginapan di Patak
Banteng,Dieng.
Hari pertama kami di Dieng , kami
berkesempatan bersiar-siar dan melawat beberapa tempat yang menjadi tumpuan
pelancong. Penulis sempat ke Tasik Hijau atau dikenali juga sebagai Tasik
Warna. Keunikan warna airnya yang kehijauan amat luar biasa. Tidak jauh dari
Tasik Warna terdapat dua lagi lokasi tumpuan pelancong iaitu Candi Arjuna dan
Kawah Sikidang.
Kesan-kesan muntahan Gunung Merapi dijadikan objek wisata
Berkesempatan merasai debaran menaiki Gondola yang dioperasikan secara manual
di Pantai Timang
Candi Arjuna juga menjadi objek tarikan pelancong di Dieng
Dataran Tinggi Dieng di Jawa Tengah
terletak di tiga kabupaten yang bersempadan iaitu Wonosobo , Kendal dan Batang.
Ianya mirip Tanah Tinggi Cameron di Malaysia tetapi dibezakan dengan rupa alam
yang lebih cantik kerana kesan aktiviti gunung berapi sejak sekian lama. Banyak
objek yang menjadi tarikan pelancung seperti Telaga Menjer, Tasik
Warna,Posong,Gua Semar dan Bukit Sekunir.
Gunung Prau merupakan salah satu puncak yang diidamkan untuk ditawan bagi penggemar aktiviti pendakian. Ianya boleh didaki dengan menggunakan lapan jalur atau laluan. Enam jalur sudah lama digunakan tetapi dua laluan lagi masih dalam peringkat ujian. Jalur yang sering menjadi pilihan pendaki ialah Jalur Wates, Jalur Kalilembu,Jalur Dieng Kulon dan Jalur Patak Banteng. Setelah berbincang dengan juru pandu , kami memilih Jalur Patak Banteng untuk misi menawan Gunung Prau.
Peta laluan pendakian Gunung Prau 2565 mdpl
Penulis dan rakan-rakan memilih waktu
petang untuk memulakan pendakian. Tepat jam 4.00 petang waktu Indonesia kami
memulakan pendakian. Semua pendaki perlu membuat pendaftaran di kaunter sebelum
dibenarkan mendaki. Laluan awal menuju ke stesen atau Pos 1 Sekot Dewo melalui
anak tangga dan laluan berbatu di kawasan kebun sayur.
Bergambar sebelum memulakan pendakian
Setiap pos mempunyai pondok untuk pendaki
berhenti rehat. Kami sampai ke Pos 2 yang dikenali Canggal Walangan dalam masa
45 minit . Juru pandu kami memuji stamina yang dimiliki oleh rakan-rakan pendaki.
Menikmati kelazatan buah-buahan dan kopi panas di Pos 2 Cangal Walangan
Pos 3 di kenali sebagai Cacingan yang
semakin hampir dengan puncak dan kawasan perkhemahan. Kami tidak berhenti di
Pos 3 kerana mencari lokasi yang terbaik untuk melihat matahari terbenam. Kami tidak
melepaskan peluang merakamkan panorama indah ketika matahari terbenam di Pos 4
iaitu Pos Plawangan.
Pemandangan matahari terbenam dari Pos 4 Pos Plawangan
Ketika sampai di Pos 4 , ketika hari sudah
gelap dan kami perlu menggunakan lampu kepala untuk membantu melancarkan
pergerakan. Sepanjang pendakian , suasana tidak sunyi walaupun hari semakin
gelap kerana ramai pendaki lain yang bergerak turun. Cabaran utama yang
dihadapi oleh kami ialah laluan yang agak berdebu kerana musim kemarau ketika itu.
Berbekalkan persiapan yang rapi , kami
mampu menempuh cabaran ke puncak Gunung Prau dengan masa dua jam sahaja. Di
tapak perkhemahan sudah kelihatan deretan lampu khemah kerana ramai pendaki
lain yang tiba lebih awal.
Suasana tapak perkhemahan di Puncak Gunung Prau,Dieng.
Kelihatan dari jauh 6 puncak gunung lagi iaitu Gunung Sindoro,Gunung Sumbing,Gunung
Merapi,Gunung Merbabu dan Gunung Lawu. Malah turut kelihatan Gunung Slamet di
arah barat.
Kami bermalam di dalam khemah yang sudah
didirikan oleh porter yang diuruskan oleh ejen kami. Tidak banyak aktiviti yang
boleh dilakukan pada waktu malam. Kami hanya berbual-bual sambil menikmati
juadah makan malam yang disediakan.
Waktu menjelang matahari terbit adalah
waktu yang ditunggu-tunggu oleh pendaki. Saat ini adalah waktu untuk merakamkan
detik-detik kegembiraan setelah berada di puncak. Pelbagai aksi dan gaya dipamerkan
dengan memilih sudut yang terbaik. Walaupun suhu mencecah 10℃ hingga 12℃ ,
namun keterujaan menikmati keindahan alam seperti tidak terasa akan kesejukan.
Kami membuat satu kejutan kepada
pendaki-pendaki lain. Kejutan ini sudah dirancang lebih awal . Kami menukar
pakaian tebal kepada baju kebangsaan. Dengan bangganya penulis dan rakan-rakan berpakaian
baju kebangsaan yang lengkap sambil mengibarkan jalur gemilang dan menyanyikan
lagu `Negaraku’.
Bangga dapat memakai baju kebangsaan ketika berada di ketinggian
2565 mdpl
Kelainan yang kami pamerkan mendapat
perhatian dari pendaki-pendaki lain yang majoritinya pendaki tempatan. Kami
lebih sibuk melayan kemahuan pendaki lain untuk bergambar.
Berada di puncak Gunung Prau seperti
berada di bumi lain yang dikelilingi awan putih. Dari puncak Prau kita boleh
melihat beberapa puncak lain seperti Gunung Sindoro,Gunung Sumbing,Gunung
Merapi,Gunung Merbabu dan Gunung Lawu. Malah turut kelihatan Gunung Slamet di
arah barat.
Setelah puas merakamkan gambar dan
berkenal-kenalan dengan pendaki-pendaki lain , kami mula bergerak turun selepas
menikmati sarapan pagi . Suasana masih dingin dengan cuaca yang cukup baik.
Pergerakan turun tidak mengambil masa yang lama berbanding ketika mendaki. Kami
bergerak turun secara santai sambil terus merakamkan gambar-gambar kenangan.
Kami mempunyai masa sehari lagi sebelum
berangkat pulang ke tanah air. Kami ke kaki gunung Merapi untuk melihat
kesan-kesan muntahan Merapi pada tahun 2010. Hari terakhir kami ke Pantai
Timang untuk merasai debaran menaiki gondola yang beroperasi menggunakan tenaga
manusia secara manual oleh pengusahanya.
Sesuai dengan tema `Truly And Amazing Sight’ pengalaman menawan Gunung Prau di
Dieng,Jawa Tengah sangat berbaloi. Kami berbangga dapat memakai baju kebangsaan
di puncak Prau untuk menerbitkan perasaan patriotisme dan kecintaan kepada
negara. Pendaki Indonesia menamakan pakaian kebangsaan yang kami pakai sebagai
pakaian adat.
Kejayaan menawan Gunung Prau terus
memotivasikan kami untuk terus meneroka puncak gunung lain samada di dalam atau
luar negara.
No comments:
Post a Comment