Tuesday, September 14, 2010

RAMADAN YANG PERGI , SYAWAL DISAMBUT

Hari ni 14 Sept 2010 baru aku menjejakkan kaki kembali ke rumah setelah lebih kurang lima hari berada di kampung.Untungnya aku boleh berada di kampung sendiri dan di kampung isteri dalam satu hari. Ini hikmahnya jika mempunyai isteri yang berasal dari kampung yang berdekatan.Aku dapat meluangkan masa di dua tempat , baik di sebelah isteri atau di kampung sendiri.
Kadang-kadang terfikir juga dilema rakan-rakan yang bertemu jodoh dengan orang jauh,berlainan negeri dan beratus kilometer jaraknya.Walaupun ketentuan jodoh itu tidak boleh dipertikaikan,tetapi sudah tentu ada persefahaman yang kuat antara dua pihak.Pengorbanan dan tolak ansur menjadi kunci ke arah kehidupan berkeluarga yang lebih bermakna.
Perginya Ramadan meninggalkan impak yang cukup besar.Betapa ramainya hamba Allah yang diberi keampunan dan peluang memperbetulkan diri.Syukur Alhamdulillah,sesiapa yang terpilih pastinya akan merasakan nikmatnya hidup ini jika kita berada tepat dilandasan Allah SWT.Sememangnya itulah apa yang dikejarkan oleh insan di dunia ini selagi kukuhnya pegangan terhadap suruhan Allah SWT.
Ketibaan Syawal sememangnya dinantikan.Persiapan pula begitu hebat.Yang jelasnya persiapan menyambut Syawal mengalahkan persediaan menyambut Ramadan. Persiapan menyambut Ramadan hanya didominasikan oleh golongan tua tetapi Syawal diraikan dengan segala persiapan tidak masuk akal. Ianya seperti tradisi dan budaya, bukannya berkonsepkan ibadat.
Itulah silapnya kita,seluruh generasi kita sudah disediakan acuan yang sama sejak sekian lama . Sayangnya acuan itu tidak memenuhi tuntutan agama sepenuhnya.Malah terlalu banyak elemen yang kelihatan terbabas dan terkeluar dari apa yang disyariatkan.

Thursday, September 9, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


Saya Abdul Samad Abdul Hakim , isteri Masrina Jasin serta anak-anak Nabila,Nadia,Nurin dan Nuha mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua kenalan.

Saturday, September 4, 2010

KESEDIHAN DI HUJUNG RAMADAN


Ketika ini , Ramadan al-Mubarak semakin hampir untuk meninggalkan kita.Buktinya dapat dilihat dengan jelas.Lagu-lagu raya berkumandang di sana sini.Pasaraya dan gedung membeli belah diserbu.Khemah-khemah dan gerai menjual kelengkapan hari raya menghiasi segenap sudut di bandar dan di pekan kecil.Bukti yang sangat jelas Ramadan sudah di penghujung ialah surau dan masjid semakin sunyi,sudah kurang jemaahnya dan hanya kelihatan warga emas dan pencinta suruhan Allah SWT sahaja yang terus mengabdikan diri.
Bunyi mercun semakin bingit memecah keheningan bulan penuh barakah ini.Sebenarnya situasi atau iklim ini adalah `ulangtayang' seperti apa yang dilihat pada tahun-tahun sebelumnya.Tahap penerimaan kita terhadap kelebihan Ramadan masih ditakuk lama.
Teringat saya kata-kata seorang teman, `orang sibuk berhabis-habisan membuat persiapan untuk berhari raya dari membuat persiapan mengejar Lailatul Qadar' yang ganjarannya tidak terjumlah banyaknya.Umat Islam seperti bergembira apabila Ramadan akan meninggalkan kita dengan persiapan menganjurkan `pesta makan' dan `pesta belanja'.Itulah hakikatnya yang berlaku.
Keindahan Ramadan seakan ditenggelami dengan kesibukan umat membuat persiapan berhabis-habisan untuk berhari raya.Renung-renungkanlah.......

SEMOGA PUASA KITA DITERIMA ALLAH DAN RAIKAN HARI RAYA SEBAGAI HARI KEMENANGAN BAGI UMAT YANG BERPUASA