Saturday, November 16, 2019

MENELUSURI KEDINGINAN BROMO DAN KING KONG HILL

Jadual yang padat memaksa kami terus beredar meninggalkan kebun epal yang memberi pengalaman memetik epal terus dari pokok. Saya dan teman-teman menuju Bromo untuk aktiviti yang kami fokus. Perjalanan dari Malang ke Bromo memakan masa hampir 4 jam. Kami mengambil kesempatan untuk melelapkan mata ketika dalam perjalanan.
Melalui bumi Bromo terasa suhu semakin dingin. Saya mengenakan jaket untuk memastikan keselesaan. Bromo berketinggian 2329 meter di atas permukaan laut itu berada dalam empat wilayah, iaitu Kabupaten Probolinggo,Pasuruan,Lumajang dan Kabupaten Malang. Bentuk Gunung Bromo bertautan antara lembah dan ngarai dengan kaldera atau lautan pasir seluas sekitar 10 kilometer persegi.

Menikmati makan malam ketika dalam perjalanan ke Rahayu Homestay,Bromo

Pemandu merangkap tour guide kami , Mas Kholiq begitu komited dengan tugasannya menyantuni segala keperluan kami. Mas Kholiq mudah dibawa berbincang dan segalanya berjalan lancar. Kami sampai di Rahayu Homestay sekitar jam 9.30 malam ( waktu ID) dan terus mendaftar masuk. Kemudahan bilik di Rahayu Homestay seperti hotel bertaraf 3 bintang.

Bilik Rahayu Homestay , Bromo yang boleh menampung 4 orang 
tetapi saya dan teman-teman diberi pilihan untuk tinggal berdua sahaja.

Suhu yang mencecah 12 Darjah Celcius agak mencabar sehingga tidak mampu memijak lantai bilik tanpa alas. Tetapi itulah kelainan dan keistimewaan Bromo yang menjadi lokasi wajib jika kita berkunjung ke Surabaya. Saya dan teman-teman membuat persiapan awal sebelum tidur kerana pergerakan kami keesokan hari seawal jam 3.30 pagi.
Kami menggunakan 2 buah jeep pacuan empat roda untuk sampai ke lokasi terakhir sebelum memulakan eksplorasi secara berjalan kaki.Seawal jam 3.00 pagi deretan jeep sudah bersedia membawa pengunjung ke Bukit Penanjakan Bromo . 
Deretan jeep ini adalah selepas turun dari Bukit Penanjakan Bromo
dan berada di kawasan pasir berbisik.

Di Bukit Penanjakan Bromo pengunjung boleh melihat matahari terbit dan menawarkan keindahan Gunung Bromo.Keindahan `golden sunrise' ini begitu ikonik sehingga ada pihak yang menyatakan `sunrise' di Bromo adalah salah satu yang tercantik di dunia.
Kami tidak berada di Bukit Penanjakan Bromo untuk menanti `sunrise' tetapi mendaki King Kong Hill untuk mendapatkan sudut pandangan paling menarik. King Kong Hill terletak bersebelahan dengan Bukit Penanjakan Bromo dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncaknya.
Suasana di Bukit Penanjakan Bromo selepas `sunrise' dengan 
aktiviti merakam foto-foto menarik .
Suasana di King Kong Hill seperti juga di Bukit Penanjakan Bromo sudah ramai dengan pengunjung dari dalam dan luar Indonesia.Suasana masih gelap dan kedinginan menunggu `sunrise' yang dikatakan antara yang tercantik di dunia.
Saya dan teman-teman mencari lokasi terbaik untuk menyaksikan munculnya cahaya emas merah. Suhu sekitar 12 darjah celcius terus mencengkam tulang dengan bantuan angin yang putus-putus. 


Selepas matahari terbit kelihatan jelas puncak-puncak yang
memukau dari King Kong Hill


Aktiviti yang paling sibuk diketika ini ialah merakamkan gambar dari pelbagai sudut dan gaya.Semua pengunjung melakukan aktiviti yang sama. Teknologi terkini menggunakan telefon pintar dan kamera digital telah banyak memberi kemudahan kepada kita untuk kerja-kerja merakamkan gambar samada berbentuk video atau gambar pegun. Semestinya panorama yang terpancar di hadapan mata akan dilihat dan dirakam untuk memuaskan hati masing-masing.
Inilah view yang menjadi kegilaan pencinta alam , ianya laksana
sebuah hamparan sebuah lukisan.


Lazimnya , saya dan teman-teman sudah menyediakan satu kelainan untuk dirakamkan. Kali ini kami mengenakan pakaian rasmi ketika di pejabat sebagai gimik. Kami menukarkan pakaian tebal kepada pakaian rasmi kerja untuk sesi fotografi . 




Gimik berpakaian rasmi pejabat ketika di puncak King Kong Hill untuk
sesi fotografi

Ketika kami sibuk beraksi dengan berpakaian rasmi kerja , baru tersedar kami menjadi tumpuan pelancong lain.Kami diajak untuk bergambar dengan pelancong-pelancong lain dari Eropah,Jepun,Korea,India dan pelancong tempatan.

Wednesday, November 13, 2019

WARNA WARNI SURABAYA

Setelah hampir tujuh bulan membuat perancangan dan persiapan , akhirnya saya kembali menyantuni dan bereksplorasi dengan alam di bumi Pulau Jawa. Kali ini saya memilih Surabaya,Jawa Timur. Indonesia mempunyai banyak kawasan tanah tinggi dan gunung yang amat memukau keindahannya. Kesan aktiviti gunung berapi telah menjadikan bumi Indonesia agak lain dari apa yang boleh dilihat di negara-negara lain di Asia Tenggara.
Setelah berjaya sampai ke Pelawangan Sembalun di Gunung Rinjani , saya ke Dieng, Jogjajakarta untuk menjengah Gunung Prau. Amat menakjubkan panoramanya seperti tidak pernah terlihat sebelum ini.Walaupun ada impian untuk ke negara lain selain Indonesia tetapi dengan menimbangkan beberapa faktor , saya dengan teman-teman terus mahu bereksplorasi dengan negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik itu.
Kebetulan saya mempunyai rakan di Surabaya yang terlibat dengan perusahaan pelancongan , maka urusan ekspedisi kali ini lebih mudah. Saya terus menghubungi Mas Wahid di Surabaya yang mempunyai syarikat sendiri menguruskan tetamu yang berkunjung ke Surabaya.Ternyata dia mempunyai pengalaman menguruskan ekspedisi pendakian banyak gunung di Jawa.
Penerbangan dari Penang ke Surabaya mengambil masa selama 3 jam menuju Juanda International Airport,Surabaya. Sepanjang penerbangan saya memikirkan tentang jadual yang padat sepanjang 4 hari 3 malam di Surabaya. Keupayaan dan kekuatan tenaga yang ada perlu dioptimumkan.
 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda,Surabaya

Ketibaan saya dan teman-teman di Juanda International Airport , Surabaya disambut oleh wakil Mas Wahid iaitu Mas Kholiq yang akan menemai kami selama 4H3M . Hari sudah semakin senja menghampiri waktu solat Maghrib. Selepas memasang niat menunaikan solat jamak,kami meneruskan perjalanan ke hotel penginapan Seulawah Grand View,Kota Wisata Batu,Jawa Timur.

Kenderaan yang kami guna sepanjang Eksplorasi Surabaya/Bromo/Ijen

Hotel Seulawah Grandview di Kota Wisata Batu,Jawa Timur menjadi
persinggahan pertama saya.

Hari kedua , saya dibawa meneroka sebuah taman bunga yang dikenali Batu Flower Garden . Taman yang direkabentuk khas di kawasan berbukit dengan pelbagai tanaman hiasan berwarna warni.Bagi penggemar seni foto dan suka bergambar terdapat 57 spot foto istagenik untuk bergambar.


 Batu Flower Garden di Kota Batu,Jawa Timur

Mengabdikan foto di salah satu spot gambar di Batu Flower Garden,Batu 

Bersama rakan-rakan yang menyertai Eksplorasi Bromo/Ijen
Meninggalkan Batu Flower Garden dengan penuh ketakjuban akan indahnya alam ini jika diurus dan dijaga dengan rapi. Ditambah dengan kreativiti manusia maka alam akan lebih anggun untuk manusia menikmatinya.
Saya dan teman-teman menuju ke Wisata Paralayang Batu ,Malang atau dikenali juga Gunung Banyak Paragliding untuk aktiviti para gliding atau dalam bahasa Indonesia disebut para layang. Lokasi ini terkenal dengan aktiviti lasak para gliding dan landskapnya yang cantik.
Saya dan teman-teman ditawarkan untuk mencuba menaiki para layang dengan bayaran IDR400,000.00 ( sekitar Rm120.00 ) untuk sekali cuba. Namun begitu , selepas berbincang dan atas alasan pelbagai faktor kami tidak mahu mengambil risiko untuk mencuba.


Sekadar bergambar bersama peminat sukan para layang 
di Wisata Para Layang,Batu,Malang.

Ada sedikit persamaan dengan Batu Flower Garden dengan Wisata Paralayang,Malang ini . Banyak dihiasi dengan tanaman bunga hiasan yang direkabentuk dalam pelbagai corak dan warna. Peranan ahli landskap dalam membangunkan lokasi ini dirasakan sangat penting. Pokok bunga hiasan ditanam menyerupai haiwan,kenderaan atau perabot.




Antara lanskap menarik yang menggunakan pokok bunga hiasan

Kami menghabiskan masa lebih kurang satu jam di Wisata Paralayang Batu,Malang dan bergerak menuju Agrowisata Petik Epal yang masih di Batu,Malang. Jika sudah berada di Batu , Malang seperti tidak lengkap jika tidak ke kebun epal. Ianya sudah menjadi ikon wisata yang sangat diminati oleh pelancong. Kawasan penanaman epal ini terletak di ketinggian lebih dari 1000 meter dari paras laut .Bayaran masuk dikenakan sebanyak IDR65,000 seorang untuk masuk ke kebun epal. Pengunjung boleh petik dan makan sepuasnya.

Selain dari epal segar , buah epal juga diragamkan menjadi pelbagai makanan kering dan jus.Pengunjung tidak dibenarkan memetik dan membawa keluar epal tetapi jika ingin berbuat demikian perlu membayar dengan harga IDR30,000 sekilogram.






Ikuti pengalaman saya di Bromo seterusnya.....

GUNUNG PRAU DAN TARIKAN ENAM PUNCAK GUNUNG DI DIENG


Percutian biasanya penuh dengan acara lawatan dan aktiviti membeli belah. Tempat menarik dengan keindahan alam sekitar , tempat-tempat bersejarah dan pusat membeli belah sering menjadi tumpuan. Agak kurang kita mengerah tenaga dan kekuatan fizikal ketika bercuti.

Ini berbeza dengan konsep bercuti bagi saya yang memilih untuk bercuti sambil berekpslorasi dengan alam sekitar terutamanya kawasan tanah tinggi , bukit dan gunung. Kali ini penulis dan rakan-rakan kelab memilih negara Indonesia untuk meneruskan konsep bercuti sambil meneroka alam sekitar khasnya aktiviti mendaki gunung.
Wonosobo khususnya Dataran Tinggi Dieng di Jawa Tengah sangat terkenal dengan objek alamnya yang indah. Tidak hairanlah daerah ini menjadi tumpuan kepada pencinta alam untuk menikmati permandangan yang menakjubkan. Salah satu puncak yang mesti ditawan ialah Gunung Prau yang tingginya 2565 meter dari paras laut.
Penerbangan awal pagi dari Kuala Lumpur ke Jogjajakarta selama 2 jam 45 minit tidak terasa kerana asyik memikirkan cabaran yang bakal ditempuhi. Perasaan berdebar dan teruja menguasai diri penulis dan rakan-rakan kerana impian untuk menawan satu lagi puncak di negara Lingkaran Api Pasifik itu semakin menjadi kenyataan.Kami menggunakan laluan Jogjakarta-Wonosobo-Magelang – Dieng untuk sampai ke tempat penginapan di Patak Banteng,Dieng.
 Perjalanan dari Jogjajakarta ke Dieng sejauh 120 kilometer mengambil masa lebih kurang 4 jam menggunakan van yang disediakan oleh ejen kami , Lich Machmud. Di sepanjang perjalanan kami terpesona menikmati permandangan  cantik sawah padi berteres yang sudah tentu tidak ada di Malaysia. 


Hari pertama kami di Dieng , kami berkesempatan bersiar-siar dan melawat beberapa tempat yang menjadi tumpuan pelancong. Penulis sempat ke Tasik Hijau atau dikenali juga sebagai Tasik Warna. Keunikan warna airnya yang kehijauan amat luar biasa. Tidak jauh dari Tasik Warna terdapat dua lagi lokasi tumpuan pelancong iaitu Candi Arjuna dan Kawah Sikidang.
Air Tasik Warna kelihatan kehijauan dari jauh.

Kesan-kesan muntahan Gunung Merapi dijadikan objek wisata

Berkesempatan merasai debaran menaiki Gondola yang dioperasikan secara manual 
di Pantai Timang

Candi Arjuna juga menjadi objek tarikan pelancong di Dieng

Dataran Tinggi Dieng di Jawa Tengah terletak di tiga kabupaten yang bersempadan iaitu Wonosobo , Kendal dan Batang. Ianya mirip Tanah Tinggi Cameron di Malaysia tetapi dibezakan dengan rupa alam yang lebih cantik kerana kesan aktiviti gunung berapi sejak sekian lama. Banyak objek yang menjadi tarikan pelancung seperti Telaga Menjer, Tasik Warna,Posong,Gua Semar dan Bukit Sekunir. 

Bergambar dengan Ibu Lich yang banyak membantu eksplorasi saya
di Dieng,Jogjakarta



Gunung Prau merupakan salah satu puncak yang diidamkan untuk ditawan bagi penggemar aktiviti pendakian. Ianya boleh didaki dengan menggunakan lapan jalur atau laluan. Enam jalur sudah lama digunakan tetapi dua laluan lagi masih dalam peringkat ujian. Jalur yang sering menjadi pilihan pendaki ialah Jalur Wates, Jalur Kalilembu,Jalur Dieng Kulon dan Jalur Patak Banteng. Setelah berbincang dengan juru pandu , kami memilih Jalur Patak Banteng untuk misi menawan Gunung Prau.

Peta laluan pendakian Gunung Prau 2565 mdpl

Penulis dan rakan-rakan memilih waktu petang untuk memulakan pendakian. Tepat jam 4.00 petang waktu Indonesia kami memulakan pendakian. Semua pendaki perlu membuat pendaftaran di kaunter sebelum dibenarkan mendaki. Laluan awal menuju ke stesen atau Pos 1 Sekot Dewo melalui anak tangga dan laluan berbatu di kawasan kebun sayur.

Bergambar sebelum memulakan pendakian

Setiap pos mempunyai pondok untuk pendaki berhenti rehat. Kami sampai ke Pos 2 yang dikenali Canggal Walangan dalam masa 45 minit . Juru pandu kami memuji stamina yang dimiliki oleh rakan-rakan pendaki.  

Menikmati kelazatan buah-buahan dan kopi panas di Pos 2 Cangal Walangan

Pos 3 di kenali sebagai Cacingan yang semakin hampir dengan puncak dan kawasan perkhemahan. Kami tidak berhenti di Pos 3 kerana mencari lokasi yang terbaik untuk melihat matahari terbenam. Kami tidak melepaskan peluang merakamkan panorama indah ketika matahari terbenam di Pos 4 iaitu Pos Plawangan.

Pemandangan matahari terbenam dari Pos 4 Pos Plawangan

Ketika sampai di Pos 4 , ketika hari sudah gelap dan kami perlu menggunakan lampu kepala untuk membantu melancarkan pergerakan. Sepanjang pendakian , suasana tidak sunyi walaupun hari semakin gelap kerana ramai pendaki lain yang bergerak turun. Cabaran utama yang dihadapi oleh kami ialah laluan yang agak berdebu kerana musim kemarau ketika itu.

Berbekalkan persiapan yang rapi , kami mampu menempuh cabaran ke puncak Gunung Prau dengan masa dua jam sahaja. Di tapak perkhemahan sudah kelihatan deretan lampu khemah kerana ramai pendaki lain yang tiba lebih awal.

Suasana tapak perkhemahan di Puncak Gunung Prau,Dieng.

Kelihatan dari jauh 6 puncak gunung lagi iaitu  Gunung Sindoro,Gunung Sumbing,Gunung Merapi,Gunung Merbabu dan Gunung Lawu. Malah turut kelihatan Gunung Slamet di arah barat.

Kami bermalam di dalam khemah yang sudah didirikan oleh porter yang diuruskan oleh ejen kami. Tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan pada waktu malam. Kami hanya berbual-bual sambil menikmati juadah makan malam yang disediakan.

Waktu menjelang matahari terbit adalah waktu yang ditunggu-tunggu oleh pendaki. Saat ini adalah waktu untuk merakamkan detik-detik kegembiraan setelah berada di puncak. Pelbagai aksi dan gaya dipamerkan dengan memilih sudut yang terbaik. Walaupun suhu mencecah 10℃ hingga 12℃ , namun keterujaan menikmati keindahan alam seperti tidak terasa akan kesejukan.

Kami membuat satu kejutan kepada pendaki-pendaki lain. Kejutan ini sudah dirancang lebih awal . Kami menukar pakaian tebal kepada baju kebangsaan. Dengan bangganya penulis dan rakan-rakan berpakaian baju kebangsaan yang lengkap sambil mengibarkan jalur gemilang dan menyanyikan lagu `Negaraku’.

Bangga dapat memakai baju kebangsaan ketika berada di ketinggian
2565 mdpl


Kelainan yang kami pamerkan mendapat perhatian dari pendaki-pendaki lain yang majoritinya pendaki tempatan. Kami lebih sibuk melayan kemahuan pendaki lain untuk bergambar.

Berada di puncak Gunung Prau seperti berada di bumi lain yang dikelilingi awan putih. Dari puncak Prau kita boleh melihat beberapa puncak lain seperti Gunung Sindoro,Gunung Sumbing,Gunung Merapi,Gunung Merbabu dan Gunung Lawu. Malah turut kelihatan Gunung Slamet di arah barat.

Setelah puas merakamkan gambar dan berkenal-kenalan dengan pendaki-pendaki lain , kami mula bergerak turun selepas menikmati sarapan pagi . Suasana masih dingin dengan cuaca yang cukup baik. Pergerakan turun tidak mengambil masa yang lama berbanding ketika mendaki. Kami bergerak turun secara santai sambil terus merakamkan gambar-gambar kenangan.



Kami mempunyai masa sehari lagi sebelum berangkat pulang ke tanah air. Kami ke kaki gunung Merapi untuk melihat kesan-kesan muntahan Merapi pada tahun 2010. Hari terakhir kami ke Pantai Timang untuk merasai debaran menaiki gondola yang beroperasi menggunakan tenaga manusia secara manual oleh pengusahanya.

Sesuai dengan tema `Truly And Amazing Sight’ pengalaman menawan Gunung Prau di Dieng,Jawa Tengah sangat berbaloi. Kami berbangga dapat memakai baju kebangsaan di puncak Prau untuk menerbitkan perasaan patriotisme dan kecintaan kepada negara. Pendaki Indonesia menamakan pakaian kebangsaan yang kami pakai sebagai pakaian adat.

Kejayaan menawan Gunung Prau terus memotivasikan kami untuk terus meneroka puncak gunung lain samada di dalam atau luar negara.

PIYAMIT TUNNEL BETONG

Walaupun saya tinggal di Kedah , negeri yang bersempadan dengan Thailand , tetapi saya tidak berkesempatan untuk mengunjungi negara gajah putih itu seperti orang lain. Mungkin kesibukan dengan tugas dan kekangan waktu yang tidak selalu memihak kepada saya untuk memasuki Thailand secara lebih kerap.
Namun begitu , jika ada peluang sudah pasti tidak akan dilepaskan. Saya mengunjungi Betong dan meninjau kesan-kesan sejarah daerah yang terkenal dengan sejarah komunis pada masa dahulu.
Gerakan komunis di utara tanah air bermula sekitar tahun 1948 sebaik tamat Perang Dunia Ke-2. Komunis bercita-cita untuk menegakkan sebuah negara komunis dengan menubuhkan unit-unit khas dan memantapkan organisasi mereka. Namun begitu , gerakan menghapus dan membasmi komunis oleh pasukan keselamatan Malaysia secara berterusan memaksa mereka berlindung sehingga memasuki wilayah selatan Thailand.
Penulis berdiri di hadapan pintu masuk Piyanit Tunnel,Betong

Untuk berlindung dari dikesan dan diserang oleh pasukan keselamatan Thailand dan Malaysia,gerila-gerila Parti Komunis Malaya ini telah membina beberapa terowong di selatan Thai sebagai pengkalan latihan dan tempat persembunyian mereka.
Piyamit Tunnel adalah salah satu sistem terowong yang terletak di Tano Maero,Betong di Wilayah Yala. Ia merupakan jaringan terowong sepanjang 1 kilometer yang telah dibina pada tahun 1976 oleh 50 anggota komunis. Terowong ini mengambil masa selama 3 bulan untuk disiapkan secara manual tanpa menggunakan sebarang jentera. Lebarnya dianggarkan 5 kaki, dan mampu memuatkan tempat tidur,setor dan lain-lain ruang untuk memberikan perlindungan kepada gerila-gerila komunis di situ.

Inilah rupa terowong yang dibina oleh gerila-gerila komunis untuk tujuan
perlindungan.

Ini adalah perigi yang dibina untuk mendapatkan sumber air.


Penulis bergambar bersama keluarga di laluan 3 untuk keluar terowong