Jadual yang padat memaksa kami terus beredar meninggalkan kebun epal yang memberi pengalaman memetik epal terus dari pokok. Saya dan teman-teman menuju Bromo untuk aktiviti yang kami fokus. Perjalanan dari Malang ke Bromo memakan masa hampir 4 jam. Kami mengambil kesempatan untuk melelapkan mata ketika dalam perjalanan.
Melalui bumi Bromo terasa suhu semakin dingin. Saya mengenakan jaket untuk memastikan keselesaan. Bromo berketinggian 2329 meter di atas permukaan laut itu berada dalam empat wilayah, iaitu Kabupaten Probolinggo,Pasuruan,Lumajang dan Kabupaten Malang. Bentuk Gunung Bromo bertautan antara lembah dan ngarai dengan kaldera atau lautan pasir seluas sekitar 10 kilometer persegi.
Menikmati makan malam ketika dalam perjalanan ke Rahayu Homestay,Bromo
Pemandu merangkap tour guide kami , Mas Kholiq begitu komited dengan tugasannya menyantuni segala keperluan kami. Mas Kholiq mudah dibawa berbincang dan segalanya berjalan lancar. Kami sampai di Rahayu Homestay sekitar jam 9.30 malam ( waktu ID) dan terus mendaftar masuk. Kemudahan bilik di Rahayu Homestay seperti hotel bertaraf 3 bintang.
Bilik Rahayu Homestay , Bromo yang boleh menampung 4 orang
tetapi saya dan teman-teman diberi pilihan untuk tinggal berdua sahaja.
Suhu yang mencecah 12 Darjah Celcius agak mencabar sehingga tidak mampu memijak lantai bilik tanpa alas. Tetapi itulah kelainan dan keistimewaan Bromo yang menjadi lokasi wajib jika kita berkunjung ke Surabaya. Saya dan teman-teman membuat persiapan awal sebelum tidur kerana pergerakan kami keesokan hari seawal jam 3.30 pagi.
Kami menggunakan 2 buah jeep pacuan empat roda untuk sampai ke lokasi terakhir sebelum memulakan eksplorasi secara berjalan kaki.Seawal jam 3.00 pagi deretan jeep sudah bersedia membawa pengunjung ke Bukit Penanjakan Bromo .
Deretan jeep ini adalah selepas turun dari Bukit Penanjakan Bromo
dan berada di kawasan pasir berbisik.
Di Bukit Penanjakan Bromo pengunjung boleh melihat matahari terbit dan menawarkan keindahan Gunung Bromo.Keindahan `golden sunrise' ini begitu ikonik sehingga ada pihak yang menyatakan `sunrise' di Bromo adalah salah satu yang tercantik di dunia.
Kami tidak berada di Bukit Penanjakan Bromo untuk menanti `sunrise' tetapi mendaki King Kong Hill untuk mendapatkan sudut pandangan paling menarik. King Kong Hill terletak bersebelahan dengan Bukit Penanjakan Bromo dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncaknya.
Suasana di Bukit Penanjakan Bromo selepas `sunrise' dengan
aktiviti merakam foto-foto menarik .
Suasana di King Kong Hill seperti juga di Bukit Penanjakan Bromo sudah ramai dengan pengunjung dari dalam dan luar Indonesia.Suasana masih gelap dan kedinginan menunggu `sunrise' yang dikatakan antara yang tercantik di dunia.
Saya dan teman-teman mencari lokasi terbaik untuk menyaksikan munculnya cahaya emas merah. Suhu sekitar 12 darjah celcius terus mencengkam tulang dengan bantuan angin yang putus-putus.
Selepas matahari terbit kelihatan jelas puncak-puncak yang
memukau dari King Kong Hill
Aktiviti yang paling sibuk diketika ini ialah merakamkan gambar dari pelbagai sudut dan gaya.Semua pengunjung melakukan aktiviti yang sama. Teknologi terkini menggunakan telefon pintar dan kamera digital telah banyak memberi kemudahan kepada kita untuk kerja-kerja merakamkan gambar samada berbentuk video atau gambar pegun. Semestinya panorama yang terpancar di hadapan mata akan dilihat dan dirakam untuk memuaskan hati masing-masing.
Inilah view yang menjadi kegilaan pencinta alam , ianya laksana
sebuah hamparan sebuah lukisan.
Lazimnya , saya dan teman-teman sudah menyediakan satu kelainan untuk dirakamkan. Kali ini kami mengenakan pakaian rasmi ketika di pejabat sebagai gimik. Kami menukarkan pakaian tebal kepada pakaian rasmi kerja untuk sesi fotografi .
Gimik berpakaian rasmi pejabat ketika di puncak King Kong Hill untuk
sesi fotografi
Ketika kami sibuk beraksi dengan berpakaian rasmi kerja , baru tersedar kami menjadi tumpuan pelancong lain.Kami diajak untuk bergambar dengan pelancong-pelancong lain dari Eropah,Jepun,Korea,India dan pelancong tempatan.