Thursday, August 13, 2020

TERJAH BUKIT ULU MALAU,GERIK

Selepas negara dilanda wabak Covid19 , aktiviti mendaki terhenti. Berikutan dengan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) , banyak aktiviti harian untuk memenuhi minat terpaksa ditangguhkan. Group saya membatalkan misi menawan Gunung Merbabu di Jawa Timur ekoran penutupan sempadan oleh kerajaan Malaysia. 

Lebih empat bulan , tidak ada peluang untuk memenuhi minat dan hobi. Selepas PKPP , pelbagai sektor sudah dibuka dan dibenarkan. Tetapi kebenaran itu masih terikat dengan pelbagai SOP selaras dengan normal baharu.

Saya bersama ahli , membuat keputusan untuk memilih Daerah Gerik,Perak sebagai lokasi pertama pendakian. Bukit Ulu Malau setinggi 834 mdpl menjadi pilihan projek kali ini. Projek kali ini secara open trip yang mengumpul penggemar aktiviti pendakian dari Pulau Pinang , Kedah dan Perak.

Perancangan awal untuk memulakan pendakian awal pagi terpaksa dilupakan kerana negara masih lagi berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang melarang aktiviti pendakian di waktu malam. Kami sampai ke lokasi berkumpul di hadapan Masjid Al Ansari , Felda Kenering se awal jam 5.00 pagi.

Selepas bertemu dengan juru pandu kami , solat subuh dan sarapan pagi , kami berkumpul di lokasi untuk menaiki powil ke kaki bukit. Saya difahamkan keadaan trek agak sukar dan mencabar kerana hampir lima bulan tiada aktiviti pendakian. 

Menaiki powil untuk ke tempat permulaan pendakian

Di permulaan pendakian , kami dihidangkan dengan keunikan  air terjun yang cantik. Semua ahli group pendaki tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto kenangan. Kami diberi tahu disini sahaja terdapat lebih 7 air terjun untuk dinikmati pendaki dan pencinta alam.



Keadaan trek pada awal pendakian akan melalui kawasan air terjun , seterusnya melintasi sungai kecil. Selepas itu, akan mula mendaki sehinggalah sampai ke simpang Y , lebih kurang satu jam pendakian. Selepas itu, laluan kembali mendatar. Kami terus mendaki sehingga sampai ke laluan permatang. Kebiasaannya pendaki akan menjumpai beberapa puncak yang lebih dikenali sebagai puncak tipu , sebelum sampai ke puncak yang sebenarnya. Angaran masa mendaki secara santai , diselang-seli dengan beberapa kali berhenti rehat untuk sampai ke puncak Bukit Ulu Malau ialah 4 jam.


Berhenti berehat selepas mengharungi laluan sukar dengan bekas tapak kaki dan tahi gajah

Trek Bukit Ulu Malau masih dianggap hutan dara dan menarik. Kiri kanan trek pendakian akan menemui tumbuhan herba seperti kacip fatimah dan tongkat ali. Malah banyak lagi tumbuhan herba yang kami tidak kenali. Cendawan yang pelbagi warna juga ditemui membuktikan bukit ini agak lama tidak diterokai manusia. Keadaan trek yang tidak begitu jelas dan memaksa juru pandu kami membuat tinjauan terlebih dahulu untuk memastikan laluan yang dipilih tepat.

Namun begitu,kesan-kesan tetakan di pokok dan tanda arah yang dibuat sebelum ini banyak membantu kami untuk melancarkan perjalanan. Malah,ada ketika juru pandu kami terpaksa membuat laluan baru untuk dijadikan jalan pintas. Di beberapa tempat kami menemui pondok daun hutan sementara dan kesan-kesan aktiviti pemburuan yang mungkin dilakukan oleh penduduk tempatan.
Penulis bergambar di puncak Bukit Ulu Malau setelah mengharungi perjalanan selama lebih 4 jam 


Semua pendaki merakamkan detik manis selepas berjaya menawan puncak Bukit Ulu Malau ,834 meter dari paras laut.

Keseluruhan trail mendaki Bukit Ulu Malau ini begitu mencabar bagi kami yang membuat kemunculan semula setelah berehat lebih 4 bulan. Projek ini memberi cabaran tersendiri terutama kepada beberapa ahli kami yang baru kembali menyertai group. Cabaran dan debaran lebih terasa dengan penemuan bekas tapak kaki dan tahi gajah disepanjang perjalanan.

Bukit ini mempunyai potensi walaupun tiada view untuk dinikmati pendaki ketika dipuncak. Tetapi memiliki beberapa air terjun yang pastinya dapat menggantikan view puncak. Bukit ini boleh diterjah oleh penggemar aktiviti lasak dan mampu bersaing dengan puncak K2 dan P2.
Jumpa lagi di puncak yang lain.

No comments:

Post a Comment