Saturday, August 22, 2020

EKPLORASI PULAU BUANGAN: PULAU JEREJAK

Kesempatan hujung minggu tanpa ada tugasan penting diisi dengan aktiviti berekplorasi dengan alam. Kali ini , saya bersama teman-teman memilih satu tempat yang kurang dikunjungi oleh orang ramai atas faktor-faktor tertentu.

Pulau Jerejak terletak antara Pulau Pinang dan Seberang Prai adalah lokasi yang perlu dijejaki untuk berimplimentasi dengan unsur-unsur sejarah di pulau yang dulunya dikenali sebagai pulau buangan atau pulau tahanan.Ada satu lagi nama yang diberikan iaitu `Alcatraz Malaysia' yang terus menghimpun seribu persoalan. Kehadiran saya bersama ahli Kumpulan Cakap-Cakap Terus Jadi ( CCTJ) adalah untuk mencari jawapan atas pelbagai persoalan tersebut.

Mengikut sejarah , nama Pulau Jerejak diberi oleh nelayan yang tinggal di pulau itu pada masa dahulu (Berita Kampus,USM). Francis Light , nama yang dikatakan membuka Pulau Pinang dikatakan menjejakkan kaki Pulau Jerejak terlebih dahulu sebelum mendarat di Pulau Pinang.

Dibantu oleh koordinator projek kali ini , Cikgu Roshidi , kami bertolak awal pagi dari rumah dan bersolat subuh di Masjid Al Malik Khalid , USM untuk memastikan dapat menepati jadual yang diberikan oleh juru pandu kami. Untuk ke Pulau Jerejak , kami perlu menaiki bot dari jeti nelayan Seagate.



Jeti nelayan Seagate menjadi lokasi menunggu bot
untuk ke Pulau Jerejak.

Setelah selesai sarapan pagi dan membeli sedikit makanan untuk dibawa , kami menaiki bot untuk memulakan jejak Pulau Jerejak . Lebih kurang 15 minit kami sudah sampai ditempat permulaan ekplorasi. Selepas mendengar sedikit taklimat dari juru pandu , saya dan teman-teman mula bergerak mengikut trek atau jalan yang sedia ada .


Bot yang membawa kami serta beberapa peserta lain menuju 
ke tempat permulaan ekplorasi Jerejak.

Selepas lima minit berjalan , kami menjumpai Russian War Memorial atau Tugu Peringatan Rusia yang dibina oleh Kerajaan Rusia untuk memperingati dua orang kelasi kapal Rusia yang terbunuh semasa peristiwa kapal Rusia ditembak oleh tentera dari kapal perang Jerman sekitar tahun 1914.

Russian Memorial War ( Tugu Peringatan Rusia)

Kami terus bergerak ke lokasi kedua iaitu British War Bunker. Ianya dibina oleh tentera British untuk menyimpan senjata,air dan tahanan perang. Difahamkan British War Bunker ini berbentuk perigi yang kedalamannya lebih kurang 30 kaki dan lebar lebih kurang 2 kaki setengah.


British War Bunker

Setelah puas sesi fotografi , saya bergerak ke satu lagi tarikan di Pulau Jerejak yang merupakan bekas kerja tangan tentera British suatu masa dahulu , iaitu Green Bank. Ianya merupakan satu empangan terbiar yang dibina sekitar tahun 1924 untuk menakung dan menyimpan air bagi kegunaan tentera British. Keadaan Green Bank masih lagi mampu untuk menakung air yang kelihatan berwarna hijau airnya.
Penulis bergambar berlatar belakangkan empangan atau
takungan air yang dikenali sebagai Green Bank

Ekplorasi diteruskan ke sebuah bangunan penjara lama. British membina penjara ini pada tahun 1930 dengan 12 sel dan sebuah dewan mahkamah. Dilengkapi dengan sebuah pondok pengawal, bilik air dan quaters untuk tentera British bertugas. Mengikut sejarah , satu sel penjara ditempatkan seramai 5 orang banduan (pesalah). Paling ramai pesalah yang ditahan disini pada suatu ketika ialah anggota pasukan Angkatan Pemuda Insaf (API) ( rujuk Berita Kampus USM). 


  Penjara yang menempatkan pesalah
yang menentang British 

Kami meneruskan perjalanan untuk ke tempat-tempat yang dianggap wajib dilihat. Antaranya beberapa bangunan lama tinggalan British dan objek-objek lain sebelum menuju ke puncak tertinggi di Pulau Jerejak.


Gereja Roman Khatolik yang dibina pada tahun 1896 

  Tidak melepaskan peluang untuk bergambar 
di sebatang pohon besar unik yang terletak
di sisi Gereja Roma Khatolik

Kami juga dibawa ke sebuah bangunan tinggalan lama yang dikatakan sebuah sekolah yang hanya kelihatan tiang dan serpihan dinding. Sekolah ini dikenali sebagai sekolah Sir Edward Cent.

Selepas mengerah keringat mendaki menuju ke puncak tertinggi di Pulau Jerejak , akhirnya kami sampai di mercu tanda tertinggi. Sesi bergambar diteruskan dan mengambil kesempatan untuk berehat buat seketika. Tinggi puncak tertinggi Pulau Jerejak hanyalah 211 meter dari paras laut. Di situ terdapat sebuah birut atau tiang lampu yang dijadikan panduan bagi kapal dan kapal terbang untuk mendarat .



Puncak Jerejak setinggi 211 meter dari paras laut
begitu mudah untuk ditawan.

Selepas berehat dan makan tengah hari , kami bergerak turun melalui trek yang berbeza dari trek semasa awal tadi. Menjumpai kawasan batu-batu yang dipecahkan , difahamkan jenis batu granit yang merupakan sisa batu yang digunakan untuk satu projek di Pulau Pinang.


Di sini juga terdapat bangunan yang digunakan sebagai pusat kuarantin pesakit kusta pada suatu ketika dahulu. Sebelum itu , tempat ini digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pusat tahanan dan kem pelarian sekitar tahun 1948 hingga 1951. Pada tahun 1993 , bangunan ini digunakan untuk penempatan pendatang asing.

Kami mengambil keputusan untuk menamatkan ekplorasi Jerejak di sini sahaja dan menghubungi bot untuk membawa kami kembali ke jeti Seagate. Cuaca yang panas menyebabkan semua ahli terasa letih dan dahaga.
Kesimpulannya Pulau Jerejak mempunyai nilai sejarah untuk diterokai oleh netizen. Benarlah tanggapan netizen bahawa Pulau Jerejak adalah tempat penempatan pelbagai kumpulan manusia yang dikategorikan sebagai kes-kes khas pada satu masa dahulu. Kini  Pulau Jerejak sudah dimajukan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Pulau Pinang. Sebuah resort sedang beroperasi untuk pengunjung yang ingin bermalam di situ. 

No comments:

Post a Comment