Thursday, December 30, 2010

BOLA DAN CERITA AKHIR TAHUN 2010

Kejayaan pasukan bola sepak negara merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki akan menjadikan sembang-sembang akhir tahun bertambah rancak.Kejayaan menundukkan Indonesia dengan agregat 4-2 tiba-tiba menjadikan bola sepak muncul topik penting ketika tahun 2010 semakin hampir untuk dilabuhkan tirainya.Tahniah dan syabas kepada para pemain muda bola sepak kita yang boleh membuktikan mereka mampu melakarkan kejayaan bila berdepan dengan pasukan yang lebih berpengalaman di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand.
Signifikan dari kejayaan ini ialah kebolehan anak-anak muda yang rata-rata berumur 25 tahun ke bawah untuk bermain secara berpasukan dengan tahap kekuatan mental yang tinggi.Kadang-kadang kehadiran pemain lebih senior dalam pasukan boleh mengganggu rentak permainan pemain yang lebih junior.Apa lagi pemain yang pertama kali terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Pemain senior sudah tentu ingin menunjukkan mereka lebih hebat dari yang muda.Maka pemain muda perlu mengikut cara dan kehendak pemain senior ketika aksi di padang sehingga membelakangkan taktik,strategi dan perencanaan yang disusun oleh jurulatih.Situasi ini satu fenomena yang tidak baik dalam apa jua jenis sukan.
Jurulatih negara , Rajagopal akan lebih enak mimpinya ketika menghabiskan masa di hujung tahun 2010 ini.Kita perlu akui bukan senang untuk membentuk kekuatan mental berbanding mengatur strategik menghadapi lawan.Jika mental tidak kuat , pemain akan mudah mengalah dan motivasi untuk `melawan' akan pudar.
Cerita bola akan menjadi topik hangat dihujung tahun dan musim baru Liga Super 2011 pasti akan dihidangkan dengan lebih enak dengan kehadiran pemain yang menjadi ahli pasukan yang menjuarai AFF Suzuki Cup 2010.

1 comment: