Sunday, December 12, 2010

KETIKA SAHABAT BERKUMPUL

Ketika ini 11 dan 12 Dis 2010 , teman-teman seperjuangan yang sudah sekian lama tidak ketemu sedang berkumpul di Ipoh untuk satu majlis sillaturahim yang amat digalakkan.Bertemu dan bertanya khabar adalah sunnah yang mampu menjana ikatan sesama insan.Alangkah indahnya bertemu dan membongkar kembali kenangan terindah ketika di bumi yang sama suatu ketika dahulu.
Rasanya 24 jam pasti tidak dapat memenuhi keinginan untuk kembali menyuburkan peristiwa lalu dan menceritakan situasi semasa antara satu sama lain.Itulah `REUNION' yang kita pinjamkan perkataan itu dari bahasanya.
Tetapi antara kawan dan keluarga telah memaksa aku untuk membuat keputusan. Aku mohon keampunan jika aku memilih untuk menunaikan tanggungjawab untuk menguruskan hal-hal keluarga pada tarikh yang sama.Ayahanda dan bonda akan kembali dari Mekah pada tarikh yang sama.Isteri pula perlu menghadiri sesi pertama pemeriksa kertas peperiksaan Pendidikan Islam SPM mulai 11 hingga 13 Disember 2010. Jiran pula memilih tarikh 11 Disember juga untuk majlis perkahwinan anaknya.
Beratnya hati dan rasa tidak elok jika aku meneruskan niat mulanya untuk turun ke Ipoh pada 10 hingga 12 Disember 2010.Aku amat berharap teman-teman dapat memahami situasi ini.Ketika detik 11 Dis dan 12 Dis , hati aku terus menerus berada di Ipoh. Aku hanya bayangkan dengan persepsi sendiri gelagat kawan-kawan ketika bertemu.Jutaan kisah akan dipersembahkan.
Hilai tawa,senda gurau dan sesi mengeratkan sillaturrahim akan menjadi agenda bermutu setelah sekian lama tidak bertemu.Pastinya teman-teman sudah banyak berubah dari aspek fizikal dan naluri bicaranya.Mungkin masing-masing sudah menjalani masa perubahan yang cukup lama.Hampir 20 tahun tidak ketemu.Namun ada juga teman-teman yang masih berhubungan secara berterusan,malah mengaturkan sesi kunjung-mengunjung dari masa ke semasa.
Kepada teman-teman , aku minta jutaan kemaafan.Jika Allah SWT memanjang usia,memelihara kesihatan dan terus-menerus mengirimkan rezeki , pasti aku akan berusaha lagi untuk bertemu kalian.Rasa sebak ini aku panjangkan agar teman-teman tidak memandang serong atas keputusanku yang gagal hadir. Bukannya sukar untuk aku ke sana. Ipoh adalah laluan dan hentian tetap aku jika bercuti bersama keluarga.Malah,sudah banyak negara asing yang mudah aku takluki,biarpun secara sendirian.Inikan pula Ipoh yang lorong-lorongnya masih segar diingatan.
Kalian tetap di hati hingga akhir hayat. Kalianlah insan-insan yang mula menemukan aku dengan nilai-nilai kehidupan yang penuh cabaran.Aku seperti kalian yang diberikan kemudahan untuk kita terus berhubungan. InsyaALLAH.......

MAAFKAN AKU....

No comments:

Post a Comment