Thursday, December 30, 2010

BOLA DAN CERITA AKHIR TAHUN 2010

Kejayaan pasukan bola sepak negara merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki akan menjadikan sembang-sembang akhir tahun bertambah rancak.Kejayaan menundukkan Indonesia dengan agregat 4-2 tiba-tiba menjadikan bola sepak muncul topik penting ketika tahun 2010 semakin hampir untuk dilabuhkan tirainya.Tahniah dan syabas kepada para pemain muda bola sepak kita yang boleh membuktikan mereka mampu melakarkan kejayaan bila berdepan dengan pasukan yang lebih berpengalaman di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand.
Signifikan dari kejayaan ini ialah kebolehan anak-anak muda yang rata-rata berumur 25 tahun ke bawah untuk bermain secara berpasukan dengan tahap kekuatan mental yang tinggi.Kadang-kadang kehadiran pemain lebih senior dalam pasukan boleh mengganggu rentak permainan pemain yang lebih junior.Apa lagi pemain yang pertama kali terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Pemain senior sudah tentu ingin menunjukkan mereka lebih hebat dari yang muda.Maka pemain muda perlu mengikut cara dan kehendak pemain senior ketika aksi di padang sehingga membelakangkan taktik,strategi dan perencanaan yang disusun oleh jurulatih.Situasi ini satu fenomena yang tidak baik dalam apa jua jenis sukan.
Jurulatih negara , Rajagopal akan lebih enak mimpinya ketika menghabiskan masa di hujung tahun 2010 ini.Kita perlu akui bukan senang untuk membentuk kekuatan mental berbanding mengatur strategik menghadapi lawan.Jika mental tidak kuat , pemain akan mudah mengalah dan motivasi untuk `melawan' akan pudar.
Cerita bola akan menjadi topik hangat dihujung tahun dan musim baru Liga Super 2011 pasti akan dihidangkan dengan lebih enak dengan kehadiran pemain yang menjadi ahli pasukan yang menjuarai AFF Suzuki Cup 2010.

Monday, December 27, 2010

2010 BAKAL DITINGGALKAN



Tak terasa rasanya waktu berlalu.Amat pantas dan tanpa kita sedari tahun 2010 akan meninggalkan kita dengan seribu kenangan.Buat yang amat prihatin dengan kehidupan ini,pastikan ada muhassabah terhadap diri sendiri.

Sunday, December 12, 2010

KETIKA SAHABAT BERKUMPUL

Ketika ini 11 dan 12 Dis 2010 , teman-teman seperjuangan yang sudah sekian lama tidak ketemu sedang berkumpul di Ipoh untuk satu majlis sillaturahim yang amat digalakkan.Bertemu dan bertanya khabar adalah sunnah yang mampu menjana ikatan sesama insan.Alangkah indahnya bertemu dan membongkar kembali kenangan terindah ketika di bumi yang sama suatu ketika dahulu.
Rasanya 24 jam pasti tidak dapat memenuhi keinginan untuk kembali menyuburkan peristiwa lalu dan menceritakan situasi semasa antara satu sama lain.Itulah `REUNION' yang kita pinjamkan perkataan itu dari bahasanya.
Tetapi antara kawan dan keluarga telah memaksa aku untuk membuat keputusan. Aku mohon keampunan jika aku memilih untuk menunaikan tanggungjawab untuk menguruskan hal-hal keluarga pada tarikh yang sama.Ayahanda dan bonda akan kembali dari Mekah pada tarikh yang sama.Isteri pula perlu menghadiri sesi pertama pemeriksa kertas peperiksaan Pendidikan Islam SPM mulai 11 hingga 13 Disember 2010. Jiran pula memilih tarikh 11 Disember juga untuk majlis perkahwinan anaknya.
Beratnya hati dan rasa tidak elok jika aku meneruskan niat mulanya untuk turun ke Ipoh pada 10 hingga 12 Disember 2010.Aku amat berharap teman-teman dapat memahami situasi ini.Ketika detik 11 Dis dan 12 Dis , hati aku terus menerus berada di Ipoh. Aku hanya bayangkan dengan persepsi sendiri gelagat kawan-kawan ketika bertemu.Jutaan kisah akan dipersembahkan.
Hilai tawa,senda gurau dan sesi mengeratkan sillaturrahim akan menjadi agenda bermutu setelah sekian lama tidak bertemu.Pastinya teman-teman sudah banyak berubah dari aspek fizikal dan naluri bicaranya.Mungkin masing-masing sudah menjalani masa perubahan yang cukup lama.Hampir 20 tahun tidak ketemu.Namun ada juga teman-teman yang masih berhubungan secara berterusan,malah mengaturkan sesi kunjung-mengunjung dari masa ke semasa.
Kepada teman-teman , aku minta jutaan kemaafan.Jika Allah SWT memanjang usia,memelihara kesihatan dan terus-menerus mengirimkan rezeki , pasti aku akan berusaha lagi untuk bertemu kalian.Rasa sebak ini aku panjangkan agar teman-teman tidak memandang serong atas keputusanku yang gagal hadir. Bukannya sukar untuk aku ke sana. Ipoh adalah laluan dan hentian tetap aku jika bercuti bersama keluarga.Malah,sudah banyak negara asing yang mudah aku takluki,biarpun secara sendirian.Inikan pula Ipoh yang lorong-lorongnya masih segar diingatan.
Kalian tetap di hati hingga akhir hayat. Kalianlah insan-insan yang mula menemukan aku dengan nilai-nilai kehidupan yang penuh cabaran.Aku seperti kalian yang diberikan kemudahan untuk kita terus berhubungan. InsyaALLAH.......

MAAFKAN AKU....

Tuesday, December 7, 2010

ULU BELUM KAYA KHAZANAH ALAM

Walaupun cuti persekolahan sudah memasuki fasa kedua,namun seperti biasanya aku terus dengan pelbagai aktiviti.Terbaru aku berpeluang merancang satu program khas yang dikenali Program Pendidikan Biodiversiti bersama Jabatan Perhilitan Daerah Grik di Ulu Belum. Sebelum ini aku tidak pernah mengunjungi tempat.Cuma hanya mendengar dan membaca dari pelbagai media tentang khazanah yang ada di Ulu Belum.
Pada 24 hingga 26 November 2010,dengan kekuatan 24 pelajar dan 9 orang guru aku bergerak ke Tasik Banding.Berbagai persoalan dan pertanyaan bermain di fikiran.Adakah kawasan ini akan mendedahkan pelbagai jawapan yang selama ini bermain di fikiran. Kami tiba di Jeti Awam Tasik Banding jam 3.15 petang.Oleh kerana hari Jumaat,kami singgah menunaikan solat di Masjid Daerah Grik. Setelah setengah jam menunggu pegawai dari Jabatan Perhilitan,bayang mereka masih tidak muncul.
Hanya jam 4.30 petang barulah muncul En.Khazizul,Pegawai Perhilitan Daerah Grik selaku pegawai program muncul.Sebenarnya mereka ada masalah kenderaan ketika dalam perjalanan. Kami dibawa ke Kem Alam Semulajadi menggunakan bot.
Hari kedua semua peserta dikejutkan dengan aktiviti program yang padat.Hari itu juga kami begitu teruja dengan pelbagai pemandangan yang menakjubkan.Kami dibawa ke Empangan Temenggor,Sira Gajah,perkampungan orang asli Jueh dan juga ke lokasi bunga rafllesia.
Ulu Belum memang padat dengan khazanah yang perlu diteroka oleh manusia.Ianya adalah hak kita untuk diteroka secara berhemah.

Saturday, December 4, 2010

ZIARAH MEDAN


Atas permintaan rakan-rakan aku bersetuju untuk membawa 4 orang rakan ke Medan,Inodnesia pada 21-24 November 2010.Kali pertama aku mengunjungi Medan ialah pada bulan Disember 2009.
Kali ini aku tidak ke Brastagi dan Toba kerana atas nasihat teman-teman ekoran bumi Indonesia yang sedang terganggu dengan aktiviti gunung berapi.
Aku hanya bersiar-siar di sekitar Kota Medan. Antaranya aku mengunjungi Istana Maimun,sebuah istana peninggalan waris Kesultanan Deli.
Bacaan lanjut mengenai ISTANA MAIMUN.

TANGKUBAN PERAHU,JAWA BARAT


Baca keterangan ringkas mengenai Tangkuban Perahu,Jawa Barat DISINI

JAKARTA/PUNCAK/BOGOR/BANDUNG

Dalam kesibukan tugas di akhir tahun,aku sempat juga ke Jakarta.Ini pun sebab tiket penerbangan sudah ditempah sejak bulan Jun lagi. Aku berlepas ke Jakarta dari LCCT pada 10 Oktober 2010,menaiki pesawat Airasia AK5236 jam 9.50 pagi.
Dalam penerbangan , aku habiskan masa dengan membaca.Dua tiga kali juga pesawat yang aku naiki bertembung dengan cuaca buruk.
Pesawat Aisasia mendarat di Lapangan Terbang Sukarno Hatta Jakarta jam 1050 pagi waktu tempatan Indonesia. Masa di Indonesia satu jam awal dari waktu Malaysia.
Selepas urusan imigresen,aku terus bertemu rakan (Pak Hassan) yang akan membawa aku dan 4 orang kawan meneroka bumi Jawa ini. Disebabkan waktu yang masih awal,aku dibawa oleh Pak Hassan ke Tugu Monumen Nasional Indonesia. Ianya mirip Tugu Kebangsaan Negara kita.
Selepas hampir satu jam lebih di Tugu Monumen Nasional,aku singgah makan tengahari di Restoren Nasi Padang,tidak jauh dari lokasi Monumen Nasional.Berselera sekali makan masakan Padang.
Pada asalnya kami bercadang untuk menginap semalam di Jakarta tetapi oleh kerana keadaan di Jakarta amat sibuk,maka kami mengambil keputusan untuk terus ke Puncak,sebuah pusat peranginan tanah tinggi mirip Cameron Highland.
Disana aku menginap di Bukit Indah Hotel.Keadaan begitu sejuk.Berbeza di Cameron Highland kerana Puncak masih banyak kawasan yang terpelihara dari penerokaan. Bangunan berkonsepkan moden masih kurang kecuali satu dua hotel yang didirikan untuk menampung keperluan pelancong.
Dari kawasan tanah tinggi Puncak aku terus ke Bandung,sebuah kota yang tidak kurang sibuknya.Aku menginap di Guci Hotel,bertaraf 3 bintang.Selepas berehat sekejap aku keluar ke Jalan Cilampiyas,kawasan untuk membeli barangan cenderamata.seperti biasa aku tidak banyak membeli kecuali apa yang dipesan oleh anak isteri sahaja.
Makan di Medan Selera Bandung , aku terjumpa beberapa nama menu pelik namanya. Ianya pelik pada namanya sahaja kerana perbezaan latar belakang budaya dan bahasa.Tetapi makanan tidak banyak berbeza dengan di Malaysia.
Di Pasar Baru pula lebih dikenali sebagai gedung untuk membeli belah. Kaum wanita yang berkunjung ke Bandung pastinya ke Pasar Baru ,gudang `grosir' yang padat dengan aneka barangan tekstilnya.
Aku kembali ke Jakarta dan menginap di Paragon Hotel juga hotel tiga bintang tidak jauh dengan Tanah Abang pusat membeli membelah mirip Pasar Baru di Bandung. Seperti biasa aku tidak banyak dengan aktiviti membeli belah tetapi tetap dengan tujuan asal ke Jakarta,cuma untuk melihat bumi orang.Membuat penilaian dan persepsi untuk dibandingkan dengan bumi sendiri.Benarlah pepatah , `hujan emas di negeri orang,hujan batu di negeri sendiri,lebih baik dan selesanya di bumi sendiri'.
14 November 2010 , jam 8.45 malam (waktu Indonesia) dengan menggunakan pesawat Airasia aku terbang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta. Pesawat yang sepatutnya berlepas jam 8.25 malam,agak kelewatan atas sebab kesukaran mendarat akibat gangguan jerebu di sekitar lapangan terbang.
Bermalam di Tunehotel LCCT Sepang dan awal pagi bertolak ke Alor Setar dengan pesawat Airasia pada jam 7.05 pagi. Sekembalinya aku ke bumi sendiri,aku bermuhassabah,bersyukur dan mengharapkan kehidupan akan lebih tersusun pada masa depan.

Saturday, October 23, 2010

PASAR TERAPUNG HAADYAI


Tahun 2009 , aku ke Perairan Langkawi untuk aktiviti air selepas Ramadhan.Tahun 2010 aku ke Haadyai dan Songkhla,Thailand untuk melihat beberapa lokasi pelancungan baru di sana. Memang tepat , Thailand begitu kreatif menarik pelancung. Dulu aku pernah berkunjung ke`Pasar Terapung' di Bangkok tetapi usaha yang sama telah dibawa di lokasi Haadyai. Menarik dan ringkas saja tetapi cukup untuk menarik kita ke sana.

KE ISTANA ANAK BUKIT

Tanggal 30 September 2010 sekali lagi bertandang ke Istana Anak Bukit untuk Istiadat Penganugerahan Sijil Pengakap Raja 2010 yang disempurnakan oleh Tuanku Sultan.Ampun Tuanku,menjunjung kasih.

Tuesday, September 14, 2010

RAMADAN YANG PERGI , SYAWAL DISAMBUT

Hari ni 14 Sept 2010 baru aku menjejakkan kaki kembali ke rumah setelah lebih kurang lima hari berada di kampung.Untungnya aku boleh berada di kampung sendiri dan di kampung isteri dalam satu hari. Ini hikmahnya jika mempunyai isteri yang berasal dari kampung yang berdekatan.Aku dapat meluangkan masa di dua tempat , baik di sebelah isteri atau di kampung sendiri.
Kadang-kadang terfikir juga dilema rakan-rakan yang bertemu jodoh dengan orang jauh,berlainan negeri dan beratus kilometer jaraknya.Walaupun ketentuan jodoh itu tidak boleh dipertikaikan,tetapi sudah tentu ada persefahaman yang kuat antara dua pihak.Pengorbanan dan tolak ansur menjadi kunci ke arah kehidupan berkeluarga yang lebih bermakna.
Perginya Ramadan meninggalkan impak yang cukup besar.Betapa ramainya hamba Allah yang diberi keampunan dan peluang memperbetulkan diri.Syukur Alhamdulillah,sesiapa yang terpilih pastinya akan merasakan nikmatnya hidup ini jika kita berada tepat dilandasan Allah SWT.Sememangnya itulah apa yang dikejarkan oleh insan di dunia ini selagi kukuhnya pegangan terhadap suruhan Allah SWT.
Ketibaan Syawal sememangnya dinantikan.Persiapan pula begitu hebat.Yang jelasnya persiapan menyambut Syawal mengalahkan persediaan menyambut Ramadan. Persiapan menyambut Ramadan hanya didominasikan oleh golongan tua tetapi Syawal diraikan dengan segala persiapan tidak masuk akal. Ianya seperti tradisi dan budaya, bukannya berkonsepkan ibadat.
Itulah silapnya kita,seluruh generasi kita sudah disediakan acuan yang sama sejak sekian lama . Sayangnya acuan itu tidak memenuhi tuntutan agama sepenuhnya.Malah terlalu banyak elemen yang kelihatan terbabas dan terkeluar dari apa yang disyariatkan.

Thursday, September 9, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


Saya Abdul Samad Abdul Hakim , isteri Masrina Jasin serta anak-anak Nabila,Nadia,Nurin dan Nuha mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua kenalan.

Saturday, September 4, 2010

KESEDIHAN DI HUJUNG RAMADAN


Ketika ini , Ramadan al-Mubarak semakin hampir untuk meninggalkan kita.Buktinya dapat dilihat dengan jelas.Lagu-lagu raya berkumandang di sana sini.Pasaraya dan gedung membeli belah diserbu.Khemah-khemah dan gerai menjual kelengkapan hari raya menghiasi segenap sudut di bandar dan di pekan kecil.Bukti yang sangat jelas Ramadan sudah di penghujung ialah surau dan masjid semakin sunyi,sudah kurang jemaahnya dan hanya kelihatan warga emas dan pencinta suruhan Allah SWT sahaja yang terus mengabdikan diri.
Bunyi mercun semakin bingit memecah keheningan bulan penuh barakah ini.Sebenarnya situasi atau iklim ini adalah `ulangtayang' seperti apa yang dilihat pada tahun-tahun sebelumnya.Tahap penerimaan kita terhadap kelebihan Ramadan masih ditakuk lama.
Teringat saya kata-kata seorang teman, `orang sibuk berhabis-habisan membuat persiapan untuk berhari raya dari membuat persiapan mengejar Lailatul Qadar' yang ganjarannya tidak terjumlah banyaknya.Umat Islam seperti bergembira apabila Ramadan akan meninggalkan kita dengan persiapan menganjurkan `pesta makan' dan `pesta belanja'.Itulah hakikatnya yang berlaku.
Keindahan Ramadan seakan ditenggelami dengan kesibukan umat membuat persiapan berhabis-habisan untuk berhari raya.Renung-renungkanlah.......

SEMOGA PUASA KITA DITERIMA ALLAH DAN RAIKAN HARI RAYA SEBAGAI HARI KEMENANGAN BAGI UMAT YANG BERPUASA

Tuesday, August 17, 2010

ANTARA DOA,HAJAT DAN KASIH SAYANG


Antara yang menggembirakan saya ketika Ramadan ini ialah pengesahan kedua ibubapa untuk menunaikan haji tahun ini. Surat tawaran pengesahan tiba seiring dengan ketibaan Ramadan.Setinggi-tinggi rasa kesyukuran saya panjatkan kepada Allah SWT.Doa dimakbulkan , hajat tertunai dan tanggungjawab sebagai seorang anak untuk melihat kedua ibubapa menjejakkan kaki ke tanah suci ditunjukkan oleh Allah SWT. Alhamdulilah.....semoga ayah dan emak diberi kesihatan,kemudahan,ketenangan,kekuatan dan disediakan tempat sebagai antara penerima haji mabrur...InsyaAllah..

Thursday, August 12, 2010

TERUS BERPENGAKAP DI JAMBORI PENGAKAP KEDAH 2010


Agak lama rasanya saya tidak berkesempatan untuk menyertai program besar pengakap.Beban kerja yang semakin melimpah ruah menyebabkan keinginan untuk melunaskan minat dengan geng pengakap amat terbatas.Beberapa program besar pengakap peringkat kebangsaan dan antarabangsa terlepas kerana tarikhnya bertindih dengan tugas lain yang lebih utama.
Jambori Pengakap Kedah Darul Aman Kali Ke-2 2010 menjadi medan untuk saya melampiaskan keinginan beruniform yang sering tertangguh itu.Tahniah kepada semua ahli pengakap yang masih tetap setia dengan `taat kepada Tuhan,Raja dan Negara,menolong orang pada setiap masa dan menurut undang-undang pengakap'
Juga kepada Kontinjen Pendang,anda sememangnya mempunyai kekuatan untuk terus berpengakap.

(Gambar: Bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah,Tuan Hj Shahidan Abd Rahman,Ketua Pesuruhjaya Negeri Kedah,Ismail Ku Ishak (dua dari kanan),Azizan Othman,Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pendang (kanan sekali) dan Encik Idris Said,Pesuruhjaya Jaya Pengakap Daerah Baling (kiri sekali)